Sunday, August 21, 2016

~Kisah Poligami..~

Bismillahirrahmanirrahim...

Assalamu'alaikum wbt...


Cuaca sangat panas sehari dua ni..
Sampaikan anak-anak, saya mandikan selang 3 jam sebab berpeluh sakan walau hanya duduk dalam rumah..
Pokok-pokok dihalaman juga ada yang telah layu walau puas saya siramkan dengan air pagi dan petang..
Hukum alam.. Panas dan hujan..
Bersyukur la, walaupun panas, kita masih ada tempat berlindung dari terik mentari..

Beberapa hari yang lalu, saya terima kisah duka dua orang sahabat..
Sedih sungguh saya mendengar perjalanan hidup mereka..
Kisah mereka berbeza situasi, namun isunya sama - POLIGAMI -
Sedikit sebanyak, kisah mereka saya jadikan panduan dalam hidup..
Kita seringkali merungut ketidaksempurnaan hidup kita..
Tanpa kita sedari ada orang yang lebih malang nasib mereka dari kita..
Kitakah yang terlupa untuk bersyukur ?
Saya kongsikan kisah mereka untuk tatapan dan sedikit pengajaran kepada kita..

Kisah Pertama..

Isteri pertama.. Saya namakan sebagai "Z"..
Z sudah bermadu lebih kurang 2 tahun..
Lumrah sebagai perempuan, Z juga tidak sanggup berpoligami pada awalnya..
Namun setelah difikir semasaknya, Z mula menerima D sebagai madunya..
Awal kehidupan, segalanya berjalan baik walau ada sedikit masalah..
Fitrah berumahtangga, apatah lagi yang berpoligami..
Walaupun begitu, mereka cuba juga atasi segala bencana yang menghampiri..
Namun panas rupanya tidak sampai ke petang..
Lama kelamaan masalah menjadi semakin besar dan tidak tertampung lagi..
Rumahtangga mereka mula berantakan..
Saban waktu Z didatangi mesej-mesej dari D..
Mesej-mesej yang mengandungi kata-kata hinaan dan penuh prasangka..
Hinggakan perhubungan antara Z dan suami mula di ambang keretakan..
Bermacam cara Z lakukan untuk memulihkan kembali hubungan mereka..
Sehingga la minggu lalu, Z menghantar mesej kepada kumpulan kami mengatakan suaminya sudah berubah..
Suami seakan mula untuk kembali kepada Z..
Z dipujuk rayu dan dimanja..
Gembira sangat kami mendengar berita itu..
Malangnya pelangi itu takkan selamanya menghiasi dada langit..
Datang mentari, pelangi juga turut sirna..
Hanya sempat menikmati musim cinta beberapa hari..
Suami berubah menjadi orang asing kembali..
Hingga Z sendiri buntu memikirkan salah dan silapnya..
Saban waktu cuba untuk berbincang, malangnya mesej-mesej Z dipandang sepi atau menerima balasan dengan kata-kata yang tidak patut untuk seorang isteri..
Dan ketika mesej-mesej dari D bertali arus menjengah kotak mesejnya..
Baru la Z tahu kisah sebenar, suami sudah tawar hati kepadanya..
Malangnya nasib seorang isteri..
Sudah la dimadukan, dibuang pula tanpa perasaan..
Z cuba mendapatkan nasihat dari pejabat agama, apakah langkah yang harus diambil..
Saya hanya mampu menjadi tempat dia mengadu..
Saya juga tiada kuasa untuk menasihati suami mahupun madunya..
Mereka masing-masing punya akal yang diberi Allah swt..
Guna la sebaiknya..
Menzalimi manusia lain semata-mata untuk mempertahankan nafsu kita..
Ini perlakuan yang sangat tidak boleh diterima..


Kisah Kedua..

Isteri kedua.. Saya namakan sebagai "M"..
M sudah bermadu lebih kurang 7 tahun..
Sebelum ini, M bekerja dan menetap di Selatan tanah air..
Manakala suami dan madunya menetap di Pantai Timur..
Perhubungan jarak jauh begitu hanya menemukan mereka waktu-waktu yang terluang saja..
Sehingga tahun ini, M dapat bertukar ke Pantai Timur..
Kami di dalam kumpulan juga bergembira dengan berita ini..
Dapat la M merasa keadilan poligami bila sudah tinggal berdekatan begini..
Apatah lagi M juga mengandung..
Pastinya bahagia datang menjengah antara M dan suaminya..
Malangnya bahagia yang didambakan bukan boleh diperolehi sekelip mata..
M masih tidak mendapat keadilan yang sepatutnya..
Perhubungan M dengan madunya tetap tidak baik..
M tetap sabar menempuh alam poligami..
Beberapa hari yang lalu, M menghantar mesej ke kumpulan, mengatakan dia ditahan di wad kerana turun darah..
Kami hanya mampu berdoa untuk keselamatan M dan kandungannya..
Apakandaya, kita hanya merancang, Allah yang menentukan segalanya..
Kandungan M keguguran, mungkin kerana M ambil masa untuk ke hospital..
M turun darah waktu maghrib, namun hanya dihantar ke hospital waktu tengah hari keesokan harinya..
Bila ditanya mengapa tidak memanggil suami..
Jawab M, suami di giliran rumah madu..
Andai dihubungi pastinya hanya makian yang diberi oleh madunya kerana mengganggu waktu dia bersama suami..
Bukan sekali dua terjadinya begini..
Tiada istilah emergency untuk diganggu waktu giliran..
Dan kesedihan berterusan menghiasi diri M bila mengenangkan suami dan madunya..
Alangkah tabahnya M kerana masih bertahan dalam situasi itu..
Dan saya hanya mampu memberi kata-kata semangat buat M terus melangkah menjalani sisa-sisa kehidupan yang entah bila akan berakhir..



Kisah mereka buat saya terfikir..
Sesekali saya merungut tentang hidup saya..
Dalam tak sedar, ada teman-teman saya yang kisah duka mereka lebih lagi dari kisah saya..
Adakala saya kurang bersyukur dengan nikmat bahagia yang Allah berikan..
Sedang dalam waktu yang sama, teman-teman saya sedang bergelut dalam derita tak sudah..
Tarik nafas, muhasabah diri..
Allah tidak turunkan ujian buat kita sekiranya kita tidak mampu menghadapinya..
Segala yang DIA beri, hanya la satu proses untuk mematangkan kita dan memberi pengajaran buat meneruskan kelangsungan hidup kita di muka bumiNYA ini..
Malangnya kita seringkali hanyut dalam ombak nafsu dan kata hati yang dikuasai syaitan..
Maka hidup la kita sebagai manusia yang terus-terusan bersuara dengan ketidakpuasan hati kita..
Ataghfirullahal'azim, ruginya kita saat dan ketika ini..



*Saya selalu tertanya-tanya.. Apakah saya boleh menjadi seorang "Kakak Madu" yang baik andaikata suatu masa nanti suami ditakdirkan berkahwin sekali lagi.. Jawab suami, InsyaAllah dia yakin.. 12 tahun bersama, dia sudah faham hati saya.. InsyaAllah.. Moga hati saya tidak tamak dengan kasih sayang kurniaan Allah swt..*

-AkU-
Syurga Addin..
06:27 pagi..

0 Kata-kata kamu..:

Post a Comment